Related Posts with Thumbnails

Saturday, June 26, 2010

Harta Negara Yang Berharga - "Si Kedekut Yang Di rindui"


Petang kelmarin pasti akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh warga Petronas apabila 'sifu' yang juga Presiden/ CEO mereka, Tan Sri Mohd. Hassan Merican, yang menerajui perbadanan itu sejak 1995, mengakhiri penggal perkhidmatannya. Katalah apapun, hujahlah apapun, tulislah apapun, mahu tidak mahu, kita sebagai warga Malaysia perlu mengakui beliau adalah di antara CEO terbaik yang pernah dilahirkan negara.

Bukan mudah untuk menguruskan aset negara yang bernilai berpuluh-puluh billion, namun Hassan bukan saja berjaya menguruskannya dengan baik, bahkan telah melipatgandakan jumlah keuntungan yang dicapai Petronas hingga menjadikannya syarikat petroleum yang cukup terkemuka di dalam dan di luar negara

Kalau nak tahu, Hassan dalam temuramahnya dengan Utusan Malaysia beberapa tahun dulu pernah mengaku beliau seorang yang sangat kedekut ketika mengendalikan Petronas, namun sebabnya cuma satu...INI SEMUA DUIT RAKYAT, BUKAN DUIT SAYA. SAYA CUMA PEMEGANG AMANAH.

Hassan juga dalam temuramah itu mengakui yang beliau lebih selesa tinggal di rumah berkembar dua tingkat yang dibelinya lebih 20 tahu lalu di Ampang dan makan makanan yang dibekalkan isterinya.

Mengikut cerita bekas wartawan Utusan Malaysia, Datuk Yazid Othman, setiap tahun satu hari pada bulan Oktober, Hassan akan mengadakan perhimpunan pekerja Petronas di sebuah dewan besar yang memuatkan 3,000 pekerja Ibu Pejabat Petronas termasuk anak syarikatnya di KL Convention Centre serta mengadakan Sidang Video secara langsung dengan semua pusat kakitangannya diseluruh Negara seperti Kerteh , Sabah, Serawak dan lain-lain, khususnya dengan pusat-pusat operasi Petronas yang ada di seluruh dunia .

Semasa Sidang Video secara langsung itu, Hassan akan berdiri dengan tegap di hadapan kamera dan skrin besar dengan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk semua kakitangannya mengajukan segala cadangan, kritikan dan ulasan secara berdepan dan beliau akan menjawab pula secara langsung semua persoalan yang ditimbulkan oleh para pegawai dan pekerja biasa Petronas dari seluruh pelusuk dunia itu.

Beliau memulakan Sidang Video itu dengan membuat ucapan ringkas tetapi padat mengenai perancangan dan halatuju Petronas untuk tahun berikutnya, Oleh itu beliau meminta para kakitangannya memberikan sebarang maklumat , cadangan ulasan serta kritikan untuk beliau jadikan panduan menyiapkan peruntukan kewangan dan rangka kerja organisasi GLC itu bagi tahun hadapannya.

Cara beliau menjawab semua persoalan yang ditimbulkan secara langsung itu amat menarik. Beliau tetap tegak berdiri tanpa rehat dan tanpa duduk di kerusi yang ada di belakangnya selama dua hingga tiga jam berhadapan dengan soalan-soalan serta memberikan jawapan secara sepontan dengan gaya suara yang amat tenang, bersahaja tetapi bertenaga.

Selain dari persoalan sains perniagaan, carigali, ekonomi dan kewangan, beliau juga melayan persoalan tenaga insan, di mana suasana kerja , kenaikan pangkat dan gaji juga dijawab dengan cara terhormat dan sopan sekali di mana orang yang bertanya itu tidak merasa dimalukan oleh beliau semasa memberikan jawapan.

Pernah seorang kakitangan Petronas meluahkan rasa tidak puashati kerana ketuanya tidak memberikan penilaian yang munasabah terhadap hasil kerjanya, yang menyebabkan beliau tidak dapat kenaikan pangkat serta bonus, padahal dia memang merasakan layak untuk diberikan kenaikan pangkat dan tambahan gaji serta bonus.

Apa yang berlaku, setelah mendengar keluhan secara langsung dari pekerja itu, Hassan terus menyebut nama Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia Petronas, serta berpaling mukanya ke arah Naib Presiden itu, sambil berkata: “ Tolong tengok segera masalah saudara kita ini”

Mendengar jawapan Hassan itu, pekerja tersebut mengucapkan ribuan terima kasih dan meluahkan rasa berbesar hati atas kesudian Ketua Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Lembaga Petronas itu yang sanggup melayan masalah peribadinya secara serta merta

Begitulah karisma insan bernama Hassan Merican ini

Unta Belang difahamkan, sejak menerajui Petronas, Hassan dan pasukannya berjaya membangunkan satu daripada program eksport gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia.

Selain itu, Petronas di bawah kepimpinannya juga memperoleh aset di Asia Pasifik, Afrika Utara dan Afrika Selatan dan negara bekas Kesatuan Soviet, sekali gus muncul antara syarikat minyak antarabangsa utama dunia dengan pengeluaran global 1.8 juta tong minyak bersamaan sehari (mmboe/d), dengan kira-kira 35 peratus disumbangkan operasi antarabangsa.

Walaupun 100 peratus milik negara, Hassan menjadikan Petronas antara pengeluar minyak dan gas utama dunia dengan tahap ketelusan kewangan dan operasi yang tinggi

Sehingga kini PETRONAS telah menarik perhatian bukan sahaja daripada pesaing-pesaing syarikat-syarikat petroleum antarabangsa malah meliputi institusi kewangan dan pelaburan antarabangsa.

Namun Unta Belang difahamkan, antara sumbangan terhebat Hassan apabila beliau dan pasukannya mengambil keputusan untuk meneroka pasaran global pada tahun 1989.

Keputusan meneroka peluang-peluang di perairan antarabangsa itu dibuat bagi mencari pasaran yang lebih luas dan menambah rizab minyak dan gas di mana sumber-sumber di Malaysia adalah terhad sedangkan penggunaan tenaga di negara kita terus meningkat.

Walaupun baru sahaja beroperasi lebih kurang sedekad lamanya, Hassan dan PETRONAS yakin dan menyahut cabaran serta mengambil risiko untuk mengorak langkah ke perairan antarabangsa. Risikonya bukan kecil kerana ia melibatkan sumber kewangan, komersil dan teknikal; serta saingan yang hebat daripada syarikat-syarikat lebih besar dan berpengalaman.

Pada permulaannya, PETRONAS telah mengamati peluang-peluang yang terdapat di negara-negara jiran terdekat, seperti di Myanmar dan Vietnam. Kejayaan PETRONAS menembusi pasaran-pasaran tersebut kemudiannya menjadi contoh dan pengukur untuk penerokaan dan pelaburan seterusnya. Fasa berikutnya diikuti dengan meninjau peluang di negara-negara Timur Tengah dan Benua Afrika.

Hassan dan PETRONAS sentiasa sedar bahawa ia haruslah tulus dan ikhlas dalam proses menjalinkan perhubungan dengan ”kerajaan-kerajaan tuan rumah” dan cuba mengambil pendekatan yang agak berbeza daripada syarikat-syarikat minyak gergasi antarabangsa yang lain.

Ia mengambil konsep kemakmuran bersama yang telah berjaya menyakinkan kerajaan-kerajaan tersebut untuk memberi peluang kepada PETRONAS melabur di negara mereka

Unta Belang diberitahu, sehingga kini ada yang berpendapat bahawa PETRONAS adalah di antara satu-satunya institusi perniagaan global yang dipimpin dan diuruskan oleh pasukan kepimpinan, pengurusan dan tenaga kerja Muslim yang setakat ini berjaya mendapatkan tempat di arena antarabangsa.

Atas kecemerlangan Hassan itu, Unta Belang tidak terkejut apabila Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengemukakan tawaran khusus kepada Hassan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam industri petroleum, untuk memberi sumbangan khidmat kepada kerajaan dan negara selepas tidak lagi menerajui Petronas

Harimau mati meninggalkan belang, manusia pergi meninggalkan nama. Sama ada positif atau negatif, sumbangan Hassan tidak mungkin kita boleh lupakan begitu saja

Hassan juga manusia biasa yang punya kelebihan dan kekurangan, kalau kita boleh terima hakikat itu maka kita kena terima Hassan seadanya.

Terima kasih, selamat bersara Tan Sri!

*Walaupun aku tidak pernah bekerja rapat dengan beliau, namun aku juga pernah mempunyai sedikit pengalaman yang berharga bersama Tan Sri Hassan Merican. Perjalanan yang jauh telah menemukan aku dengan "Permata Negara" ini bersama didalam penerbangan yang sama tiket kelas ekonomi yang mampu aku belikan. Tetapi itu salah sikap peribadi yang aku amat jarang jumpa dikalangan tokoh korporat yang lain. Dan aku tertanya-tanya, kenapa Negara Malaysia tidak menjadikan Tokoh Yang dikenali sebagai peminat sambal tumis ikan masin ini sebagai ikon korporat yang patut diikuti. Aku tidak mahu kita rugi dengan sikap "Habis Madu, Hampas Dibuang". Jika kita terlupa, Kita akan rugi...

Seperti Biasa: Tunggu Episod Seterusnya...........

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP